assalamualaikum

atas

Anak Melayu Bugis@Facebook

bubble

Cursors

Proton Logo

Title blog bergerak

Friday, November 4, 2011

TRAGEDI!!!Kemalangan Pesawat MAS (MH653) di Tanjung Kupang, Johor (PART 1)



-TRAGEDI!!!Kemalangan Pesawat MAS (MH653) di Tanjung Kupang, Johor-


TERINGAT penulis peristiwa yang menjadi sejarah hitam buat Malaysia khususnya Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Nahas yang mengorbankan 100 nyawa  itu pasti menjadi titik hitam kepada keluarga mangsa dan pasti orang ramai gerun mendengarnya kerana kesemua penumpang TERKORBAN. Walaupun berlaku berpuluh tahun yang lalu, namun penulis berhasrat untuk mengungkap kembali cerita mengenai nahas yang paling TRAGIS dan DAHSYAT ini. Kemungkinan  generasi sekarang tidak tahu peristiwa yang berlaku pada 4 Disember 1977 ini memang benar-benar berlaku. Hakikatnya, tragedi ini sudah di abadikan di dalam Novel 'Tragedi 4 Disember' sebagai novel pembelajaran Bahasa Melayu tingkatan 2 di sekolah-sekolah (sekarang mungkin sudah di tukar dengan novel lain). Penulis berpeluang mengkaji novel tersebut sewaktu penulis masih di tingkatan 2, mungkin agak lama untuk penulis mengingati kembali isi kandungan dalam novel tersebut sekarang. Di samping itu terdapat beberapa MISTERI di sebalik tragedi hitam ini. Mungkinkah kesahihan puncanya berlaku nahas ini adalah di RAMPAS pihak tertentu?


Entri kali ini penulis akan berkongsi cerita mengenai peristiwa ini yang di ambil daripada akhbar-akhbar rujukan dan sebahagian cerita yang terkandung di dalam novel 'Tragedi 4 Disember' karya Dzul Karnain Ithnain:

1) Info Tragedi

Tarikh dan waktu terhempas: 4 Disember 1977, kira-kira jam 8.35 malam.

Lokasi terhempas: Hutan paya bakau di Tanjung Kupang, Johor. 
Jadual penerbangan: Pesawat dari Pulau Pinang menuju ke Singapura. 
Angka korban: 100 mangsa (93 penumpang dan tujuh krew penerbangan) 
Punca: Dipercayai pesawat dirampas pihak tertentu.


                                                 Gambar: Pesawat MH653


2)Cerita Sebenar


JAM menunjukkan sekitar 7.21 malam pada 4 Disember 1977 apabila pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 737 MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.Seramai 93 penumpang antaranya pelancong asing bersama tujuh krew penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan.

Hampir setengah jam kemudian, pesawat berkenaan melalui Batu Arang dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor. Bagaimanapun, secara tiba-tiba menara kawalan LTAB menerima makluman daripada juruterbang pesawat bahawa terdapat situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan itu, kira-kira jam 7.54 malam. Ketika pegawai petugas menara kawalan meminta penjelasan lanjut, juruterbang berkenaan segera membalas dengan menyampaikan satu makluman yang amat mengejutkan – pesawat berkenaan DIRAMPAS PIHAK TERTENTU!

Mendengar penerangan itu, segera menara kawalan menyediakan landasan untuk pesawat berkenaan mendarat. Pesawat berkenaan terbang semakin rendah untuk mencecah landasan tetapi belum pun sempat ia menjejakkan roda, tiba-tiba ia kembali terbang tinggi meninggalkan daratan. Tanda tanya terus tercetus tatkala melihat tindakan aneh juruterbang tetapi ketika itu jugalah menara kawalan kembali dimaklumkan juruterbang pesawat berkenaan bahawa mereka akan meneruskan penerbangan ke Singapura.

Menara Kawalan Paya Lebar di Singapura terus dimaklumkan mengenai situasi cemas dihadapi penerbangan MH653 itu dan kelulusan untuk mendarat segera diberikan pihak berkuasa negara terbabit. Akan tetapi, tidak lama selepas itu, secara tiba-tiba pesawat berkenaan terus hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha untuk mengadakan hubungan radio bagi menghubungi pesawat berkenaan juga gagal. Runsing, cemas dan tanda tanya terus bercampur baur pada pihak berkaitan tatkala memikirkan kehilangan misteri pesawat terbabit daripada radar selain situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan berkenaan.

                                                              Gambar: Novel Tragedi 4 Disember yang pernah di baca penulis

HUTAN bakau di Tanjung Kupang menjadi kawasan lapang selepas tragedi pesawat terhempas pada 4 Disember 1977. Sementara itu, malam yang tenang dan damai menyelubungi beberapa kampung di Tanjung Kupang yang terletak berhampiran Selat Tebrau kira-kira jam 8.30 malam. Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah masing-masing sambil berehat dan menonton televisyen manakala sebilangan lagi melepaskan penat lelah berikutan terdapat kenduri kahwin yang diadakan pada siangnya.

Tidak lama kemudian, satu bunyian aneh yang berdesing seakan bunyi wisel yang kuat mula menggemparkan penduduk kampung. Ada antara mereka yang berlari ke luar rumah untuk memastikan bunyi aneh apakah yang mencemari keheningan malam itu. Ketika itulah mereka semua tersentak kekejutan – di hadapan mata mereka, kelihatan pesawat gergasi terbang dalam keadaan ‘bergoyangan’ dan amat rendah sehingga kelihatan seolah-olah berada betul-betul di atas pohon kelapa saja.

Kegemparan di jiwa penduduk masih belum hilang ketika pesawat berkenaan tiba-tiba terbang memutar dan hampir menegak. Satu letupan kuat kedengaran sebelum lampu pesawat itu terpadam dan kapal terbang itu terus terjunam ke satu lokasi berhampiran kampung berkenaan. Pesawat berkenaan terhempas di permukaan tanah dan menggegarkan kawasan sekitar sehingga ada penduduk menyangka yang gempa bumi berlaku di kampung itu. Gegaran itu
diiringi satu letupan teramat kuat dan api mula marak menjulang sehingga berpuluh meter ke udara.

Serentak itu juga banyak barang dan serpihan pesawat melayang bertebaran ke merata arah malah sehingga ke lokasi yang jauh. Tidak lama kemudian, satu laporan diterima pihak polis berhubung tragedi kapal terbang yang terhempas di kawasan hutan bakau di Tanjung Kupang.



                                                          Gambar: Jasad-Jasad Mangsa di kumpulkan dalam karung guni

Laporan itu membawa berpuluh jentera bomba, ambulans dan kenderaan menyelamat bersama lebih 100 pihak berkuasa termasuk polis, tentera, bomba dan petugas hospital ke lokasi nahas sekitar jam 10 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Pengawasan helikopter dari udara mendapati hempasan pesawat menjangkau lokasi luas sehingga 2.5 kilometer persegi malah ada kawasan yang menjadi lapang seumpama ‘padang jarak padang terkukur’ apabila banyak pohon bakau di kawasan itu tercabut dan patah dilanda pesawat.



                                                  Gambar: Kawasan di percayai pesawat terhempas

BARANG mangsa yang bertaburan dikumpulkan. Gerakan mencari dan menyelamat segera dilakukan dan ketika itu jugalah pihak terbabit mula sedar bahawa pesawat berkenaan berkecai akibat terhempas dan tiada siapa yang terselamat daripada tragedi itu. Kenyataan itu lebih menyeramkan tatkala pasukan penyelamat mendapati bukan saja tiada mangsa yang berjaya diselamatkan malah jasad semua mereka juga hancur berkecai malah ada yang hanya ditemui sekadar cebisan daging.

Pelbagai peralatan daripada pesawat termasuk buku, surat, gambar, pakaian dan barangan keperluan mangsa bertebaran ke merata arah di seluruh kawasan tragedi yang luas malah cebisan jasad mangsa dipercayai turut hilang akibat terjatuh di kawasan perairan. Kawasan sekitar juga mula diselubungi bauan mayat serta minyak pesawat dan hari itu, satu tragedi pesawat terhempas yang paling tragik dan dahsyat dicatat dalam sejarah hitam negara.
--------------------------------------------------------------------------------
3) Cubaan rampasan disyaki punca tragedi

SEKITAR jam 5.40 pagi selepas tragedi pesawat Boeing 737 MH653 terhempas, pihak MAS mula memaklumkan mengenai tragedi menyayat hati itu kepada ahli keluarga dan rakan penumpang yang menanti dengan penuh gelisah di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS).

Pengumuman itu disambut dengan perasaan pilu dan sayu apabila ahli keluarga dan rakan yang menanti itu diberitahu bahawa tiada mangsa yang ditemui selamat berdasarkan gerakan mencari yang dilakukan. Tanjung Kupang kemudian menjadi tumpuan media dan negara dikejutkan dengan tragedi antara paling tragik pernah direkodkan dalam sejarah negara.

Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu).

Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ali Ahmad dan
Setiausaha Politiknya, Hood Fadzil, adalah di antara penumpang yang dilaporkan terkorban.

Gerakan mencari yang tergendala kerana kesukaran mencari pada gelap malam diteruskan semula ketika mentari pagi mula menerangi kawasan tragedi. Pelbagai penemuan sama ada barang keperluan dan komponen pesawat dipungut dan dikumpulkan pada suatu tempat. Jasad mangsa pula dikumpulkan di dalam beg plastik, ditanda sebelum dihantar ke rumah mayat.

Pihak berkuasa juga mengadakan pengawasan ketat di tempat kejadian malah kawat berduri dipasang bagi mengelakkan pihak yang tidak berkaitan memasuki lokasi nahas kerana dikhuatiri mengganggu kerja mencari dan menyiasat yang dijalankan. Seterusnya,
mayat semua mangsa yang ditemui dimasukkan dalam tujuh keranda dan dikebumikan di satu tapak perkuburan besar di Jalan Kebun Teh berikutan sukar untuk mengenalpasti identiti setiap mangsa.



                   Gambar: Perkuburan Besar di Jalan Kebun Teh(semua mangsa di kebumikan dalam 1 liang lahad)
              
Ribuan ahli keluarga dan sahabat termasuk mereka yang berasal dari luar negara membanjiri tanah perkuburan berkenaan pada hari pengebumian jenazah semua mangsa diadakan. Tragedi itu juga memberi impak dan tamparan besar kepada operasi pesawat dan lapangan terbang berikutan ramai pihak beranggapan yang kemalangan itu berpunca daripada kurangnya kawalan keselamatan di lapangan terbang.

Satu kajian semula mengenai keselamatan di lapangan terbang dilakukan. Pengesan logam buat pertama kalinya dipasang di LTAS bagi mengelak kejadian sama berulang. Bagasi milik orang kenamaan pula tidak lagi boleh dikecualikan daripada pemeriksaan dan pengawal peribadi mereka juga dikehendaki menyerahkan senjata api masing-masing kepada juruterbang sebelum menaiki pesawat.

Menyoroti punca nahas itu, ramai pihak percaya yang juruterbang pesawat berkenaan dipaksa pihak perampas untuk terbang terus ke Singapura dan tidak mendarat di Subang untuk mengisi minyak. Perampas terbabit juga dipercayai turut menyeludup masuk bahan letupan di dalam pesawat menyebabkan tragedi itu menjangkau kawasan yang amat luas apabila terhempas.

Penemuan beg kecil bersama kelongsong peluru juga menimbulkan spekulasi bahawa kemungkinan berlakunya pergelutan antara pihak perampas dengan pengawal peribadi Datuk Seri Ali sejurus sebelum pesawat itu terhempas. Analisis terhadap kotak hitam pesawat juga tidak banyak membantu untuk mengenalpasti siapakah perampas terbabit, motif mereka serta rentetan kemalangan berkenaan.

Beberapa pihak pengganas dipercayai menjadi dalang rampasan berkenaan antaranya kumpulan dikenali ‘Tentera Merah Jepun’ selain ‘Ananda Marga’ dan ‘West German Baader-Meinhof’. Bagaimanapun, sehingga kini, tiada bukti kukuh mengenai kejadian sebenar yang berlaku ketika penerbangan berkenaan sekali gus meninggalkan punca tragedi itu kekal sebagai misteri sehingga kini.
 



Takziah kepada semua penumpang pesawat MAS MH653 yang terkorban pada 4 Disember 1977. Al-Fatihah.


Credit to: Novel Tragedi 4 Disember, Berita Minggu







8 comments:

  1. alangkah bagusnya ada dokumentari berkenaan tragedi ni

    ReplyDelete
  2. salam.
    baru semalam saya tahu berkenaan tragedi ni,itupun dalam bengkel.terima kasih kerana berkongsi.

    ReplyDelete
  3. salam.
    baru semalam saya dapat tahu berkenaan tragedi ini,itupun dalam bengkel.terima kasih kerana berkongsi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam
      terima kasih...bertambah pngtahuan sy....
      byk lg tragedi yg berlaku di negara dan ia.mnjadi sejarah..antaranya ..runtuhan higland tower..serangan balai polis bt pahat...serangan memali..almaunah..dan paling mnyayat kebakaran.melibatkn pelajar sekolah di kedah

      Delete
  4. kejadian hampir sama berulang lgi hari ni...8mac 2014...pray for MH370

    ReplyDelete
  5. Cube buat dokumentari 4 disember

    ReplyDelete
  6. tragedi kini berulang n misteri juga kisahnya dgn MH370

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jata Johor

Jata Johor

youtube

Lagu Bangsa Johor

Allah peliharakan Sultan
'Nugrahkan Dia segala kehormatan

Sehat dan ria, kekal dan makmur
Luaskan kuasa, menaungkan kami

Rakyat dipimpini berzaman lagi
Dengan Merdeka bersatu hati

Allah berkati Johor
Allah selamatkan Sultan